E-ZAKAT ONLINE: PERMUDAHKAN PENGELUAR ZAKAT KEMASKINI AKAUN ZAKAT

SHAH ALAM, 25 Jun 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Kempen Daftar eZakat Online untuk menggalakkan pengeluar-pengeluar zakat di Selangor mendaftar menggunakan sistem eZakat Online bagi menyemak dan mengemas kini akaun zakat mereka. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa bersempena Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Iftar 2015 di sini.

Melalui platform eZakat Online dapat memudahkan para pengeluar zakat untuk mengemas kini akaun zakat mereka dengan hanya perlu mendaftar sebagai pengguna di www.zakatselangor.com.my/ezo. Pengguna eZakat Online dapat menyemak maklumat bayaran zakat sepanjang tahun, mencetak penyata zakat, mengemas kini maklumat peribadi, dan boleh menunaikan zakat secara terus melalui e-zakatpay. Kempen ini telahpun bermula pada 18 Jun sehingga 18 November 2015.

 

LZS_4587 copy

 

Serentak dengan itu juga, para pengeluar zakat yang mendaftar melalui eZakat Online dan menunaikan zakat harta atau fitrah secara talian sepanjang tempoh kempen berlangsung berpeluang menyertai cabutan bertuah yang disediakan.

Sementara itu,  hari ini LZS menerima pembayaran zakat perniagaan dari 54 buah syarikat berjumlah RM5,118,281.31. Prolintas Expressway Sdn Bhd mendahului senarai syarikat pembayar dengan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM815,000.00, diikuti Bank Pembangunan Malaysia Berhad berjumlah RM726,720.52 dan QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd sebanyak RM642,627.00.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah MTD Prime Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat berjumlah RM541,000.00, MTD Prime Sdn Bhd yang menunaikan zakat sebanyak RM541,000.00, Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd berjumlah RM520,061.80 dan KPJ Healthcare Berhad yang mewakili hospital-hospital KPJ berjumlah RM343,223.67. Sementara, Kumpulan Rahman Brothers Sdn Bhd dan Turnpike Synergy Sdn Bhd masing-masing menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM200,000.00.

Dalam majlis yang sama, LZS mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM114,667.50 kepada tiga individu dan RM2,545,000.00 kepada sekolah-sekolah di seluruh Selangor yang terlibat dengan Program Sekolah Angkat (PROSA), dengan jumlah keseluruhan bantuan zakat yang diagihkan pada hari ini sebanyak RM2,659,667.50.

Mereka ialah Mohd Shahriman Ahmad yang menerima bantuan perubatan bagi merawat penyakit kanser darah yang dihadapi berjumlah RM48,667.50 dan pasangan kembar Lailatul Amrina Abdul Shahadan serta Lailatul Amrini Abdul Shahadan yang menerima bantuan dermasiswa untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah masing-masing berjumlah RM33,000.00.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Siti Masalah Osman dan Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan Zakat LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Husin Mohd Ali.