FIQH ZAKAT SIRI 2
JENIS – JENIS ZAKAT
Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat Fitrah dan zakat Harta (Maal).
- Zakat Fitrah atau dikenali dengan juga dengan zakat diri dan zakat Ramadhan telah diwajibkan pada tahun ke-2 Hijrah iaitu sama dengan tahun diwajibkan puasa dalam bulan Ramadhan. Zakat Fitrah diwajibkan adalah bertujuan sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perkataan-perkataan keji dan buruk yang mereka lakukan sewaktu berpuasa. Selain itu, zakat Fitrah menjadi makanan untuk kepada orang-orang yang miskin.
– Syarat wajib zakat fitrah :
- Islam
( Zakat Fitrah hanya diwajibkan kepada orang Islam sahaja)
- Berkemampuan
(Mempunyai sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih dari keperluan diri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya, bermula dari malam 1 Syawal sehingga terbenam matahari 1 Syawal)
- Menemui Awal & Akhir Ramadhan
( Orang yang meninggal sebelum matahari terbenam atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam 1 Syawal tidak diwajibkan membayar zakat fitrah)
– Hukum dan kadar zakat fitrah
Hukumnya wajib, berdasarkan hadis Abdullah bin Umar R.A :
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَال:َ ” فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ، وَالْحُرِّ، وَالذَّكَرِ، وَالْأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ، وَالْكَبِيرِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاة ِ “
Maksudnya : “ Rasululullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah satu sha’ (gantang Baghdad) dari kurma atau satu sha’ dari gandum bagi setiap orang yang merdeka, laki-laki atau wanita yang kecil dan besar dari kaum muslimin. Dan nabi memerintahkan untuk ditunaikan sebelum keluar orang-orang menuju solat”.
(Muttafaq Alaih)
Kadar zakat fitrah adalah seperti yang disebut dalam hadis diatas iaitu sebanyak satu gantang / sha’ yang bersamaan dengan 2.7kg makanan asas. Untuk situasi di Malaysia, makanan asas adalah beras dan kiraan zakat fitrah adalah mengikut 2.7kg harga beras semasa.
2. Zakat Harta (Maal) adalah zakat yang diwajibkan apabila sudah mencapai nisab (mencapai jumlah tertentu) akan sesuatu harta tersebut. Zakat harta ini merangkumi hasil perniagaan, pertanian, hasil ternak, hasil temuan, emas, perak dan matawang dimana harta-harta tersebut memiliki kadar nisab yang tersendiri.
Pengertian harta atau المال itu dari sudut bahasanya adalah bermaksud condong, cenderung atau miring. Manakala pengertian secara istilahnya harta itu adalah sesuatu yang layak dimiliki mengikut syara’, bernilai, dapat dimanfaatkan serta boleh disimpan dan dikuasai oleh seseorang.
Firman Allah s.w.t :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بَِٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
(Surah Al-Baqarah 2:267)
Antara jenis harta yang diwajibkan zakat terdiri dari 5 jenis :
- Al-Nuqud (Emas, Perak & Matawang)
- Tanaman & Buah-buahan
- Binatang Ternakan
- Galian (Rikaz, Kunuz & Ma’adin)
- Perniagaan
Apakah perbezaan Zakat Fitrah dan Zakat harta..?
Berikut adalah beberapa ringkasan perbezaan antara zakat fitrah dan zakat harta :
ZAKAT FITRAH
- Zakat yang dikenakan atas setiap individu
- Mempunyai tempoh masa yang tertentu
- Nilai yang amat rendah dan sama bagi semua pengeluarnya
- Agihan diutamakan kepada golongan fakir dan miskin
ZAKAT HARTA
- Zakat yang dikenakan atas harta yang tertentu
- tidak mempunyai tempoh masa yang tertentu
- Bergantung kepada jumlah harta yang dikenakan zakat
- Diagih-agihkan kepada 8 golongan asnaf.