UKM TERIMA ZAKAT BERJUMLAH RM30,000 DARI BIMB

.

Oleh Asmahanim Amir
Shahiddan Saidi

BANGI, 20 November 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan wang zakat berjumlah RM7.24 juta dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan RM30,000 dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) untuk disalurkan kepada yang berkelayakan.

Bantuan zakat khas di bawah inisiatif MAIWP Prihatin Kasih Asnaf itu bertujuan untuk meringankan beban asnaf terutamanya pelajar yang terjejas ekoran penularan COVID-19.

Sumbangan zakat BIMB pula adalah bagi tujuan pendidikan untuk manfaat pelajar-pelajar UKM yang memerlukan.

Penolong Pengurus Besar Pengurusan Strategik BIMB, Bostamam Hassan berkata sumbangan zakat itu adalah bagi membantu mengurangkan beban yang dialami pelajar, khasnya dalam persekitaran semasa yang kian mencabar.

“Dengan pencapaian yang memberansangkan ini, BIMB dapat menyempurnakan zakat perniagaan berjumlah RM10.8 juta bagi tahun 2019.

“Semoga dana zakat ini dapat merungkai kekusutan yang mungkin bermain diminda pelajar dan membolehkan mereka memberi tumpuan penuh dalam pelajaran,“ katanya.

Sumbangan zakat yang diberikan oleh BIMB bukan sahaja tertumpu kepada UKM, malah turut disalurkan kepada Universiti Awam yang lain.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim berkata sumbangan yang diterima itu akan digunakan sepenuhnya kepada keperluan pelajar.

“Dalam persekitaran yang mencabar ini, peranti dan data internet adalah sangat penting untuk pelajar bagi mengikuti kelas secara dalam talian.

“Pihak universiti juga telah meluluskan beberapa peranti seperti laptop untuk kegunaan pelajar yang memerlukan. Dengan adanya sumbangan ini, lebih ramai pelajar yang akan menerima bantuan,” katanya.

.

.

.

Sumber :

UKM Terima Zakat berjumlah RM7.24 juta dari MAIWP dan RM30,000 dari BIMB