UNIT ZAKAT UKM TAJA PENUH ZAN OKU UKM
BANGI, 4 April 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyediakan kenderaan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) iaitu van bagi memudahkan pergerakan pelajar kurang upaya menghadiri kuliah atau aktiviti kokurikulum sekitar kampus.
Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, usaha itu adalah penting menjadikan UKM sebagai sebuah kampus yang mesra OKU.
“Dengan adanya kenderaan khas ini, ia akan memberi keyakinan kepada pihak luar terhadap UKM dalam menjaga kesejahteraan golongan OKU,” katanya semasa majlis Penyerahan Kenderaam Khas OKU UKM di sini, baru-baru ini.
Van yang berharga RM180,000 itu adalah sumbangan daripada Tabung Amanah Zakat UKM.
Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan berkata banyak manfat yang boleh digunakan hasil daripada kutipan zakat UKM.
“Antaranya ialah dengan membeli van khas ini bagi menjaga kesejahteraan dan kebajikan OKU khususnya dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan usaha sedemikian akan diteruskan dengan projek baharu atau menambah baik kemudahan sedia ada.
Van tersebut dilengkapi dengan kemudahan tempat duduk mesra OKU dan sistem hidrolik terkini bagi mereka yang berkerusi roda.
Sementara itu, seorang pelajar OKU, Nurul Syaida Md Zuki, pelajar tahun satu Doktor Falsafah Fakulti Pendidikan berkata dengan adanya van tersebut, pergerakan pelajar OKU terutamanya yang berkerusi roda akan menjadi lebih mudah.
“Ini adalah usaha yang bagus pihak universiti kerana sebelum ini, pelajar yang berkerusi roda perlu meminta bantuan kawan-kawan untuk ke kelas. Mereka perlu menumpang kenderaan kawan-kawan jika mahu menghadiri kuliah atau aktiviti kampus,” katanya.