PERSIDANGAN KEBANGSAAN EKONOMI MALAYSIA (PERKEM) KE-9 2014
Dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, berbesar hati menjemput ahli akademik, penyelidik, pegawai agensi kerajaan dan swasta dan pelajar pasca siswazah untuk bersama-sama menyertai persidangan ini dengan menulis dan membentangkan kertas kerja persidangan berdasarkan sub tema yang telah dipilih.
Pihak Urusetia ingin memaklumkan bahawa tarikh persidangan telah dipinda ke tarikh yang baru iaitu pada 17 hingga 19 Oktober 2014. Pihak urusetia memohon maaf atas perubahan tarikh tersebut .
URUS TADBIR EKONOMI YANG ADIL: KE ARAH EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI
Pengenalan
Tinggal enam tahun lagi untuk kita merealisasikan Wawasan 2020 yang bakal meletakkan Malaysia di kalangan negara-negara maju dan berpendapatan tinggi. Tempoh berbaki yang singkat ini perlulah dipergunakan sepenuhnya. Untuk itu, pengemblengan usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 perlulah didokong oleh semua rakyat di semua peringkat. Bukan sahaja pihak kerajaan yang menggubal dasar, sektor swasta yang terdiri daripada isirumah dan firma mestilah sama-sama mendokong hasrat yang sama ke arah Wawasan 2020. Ketidaktentuan ekonomi antarabangsa dan domestik yang berlaku pada masa lalu sungguh menduga kebersamaan rakyat Malaysia dalam mendokong hasrat berkenaan.
Kerajaan dalam memastikan bahawa hasrat tersebut sentiasa dipikul atas bahu semua peringkat rakyat telah merencanakan beberapa program untuk memangkin semangat dan daya usaha rakyat, lantas dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Program tersebut dibentuk di bawah rangka kerja baru ekonomi negara yang dinamakan Model Baru Ekonomi (MBE). MBE mempunyai tiga prinsip utama iaitu negara berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan. Atas prinsip inilah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dirangka.
ETP telah dilancarkan pada 25 September 2010. Program ini meletakkan 12 bidang keberhasilan utama negara (NKEA) sebagai sektor pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Dalam setiap bidang, pemain swasta utama ditentukan untuk mengetengahkan daya saing dan kelebihan berbanding negara. Dalam masa yang sama, sektor kerajaan juga turut dilaksana program transformasinya tersendiri iaitu GTP, yang mempunyai tujuh matlamat iaitu memerangi jenayah, melawan rasuah, meningkatkan keberhasilan pelajar, meningkatkan taraf hidup isirumah miskin, menambahbaik infrastruktur asas luar bandar, memperbaiki pengangkutan awam bandar, dan mengatasi kos hidup rakyat. ETP dan GTP bergabung untuk memastikan kesemua NKEA dapat dibangunkan dan memberi faedah kepada peningkatan pendapatan rakyat dan negara.
Namun begitu, kejayaan kedua-dua program transformasi ETP dan GTP serta peningkatan pencapaian dan sumbangan NKEA kepada ekonomi negara sangat bergantung kepada keberkesanan urus tadbir yang telus dan penuh kebertanggungjawaban. Kedua-dua program tersebut melibatkan dana awam dan swasta yang sangat besar. Justeru, pengurusan perbelanjaan dana ini memerlukan agensi perlaksana yang dapat melakukan urus tadbir yang bersih, amanah, telus dan penuh kebertanggungjawaban. Jika ini tidak berlaku, dana-dana ini akan disalur ke sektor yang tidak sepatutnya dan akhirnya berlaku pembaziran sumber.
Begitu juga, urus tadbir yang bersih, amanah, telus dan penuh kebertanggungjawaban ini mestilah diasaskan atas konsep keadilan dan kesaksamaan sebagaimana diterangkan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Atas konsep tersebut, semua rakyat berhak mendapat akses kepada pasaran dan sumber ekonomi tanpa sebarang sekatan dalam meningkatkan produktiviti masing-masing. Keterbukaan ini disebut dalam prinsip keterangkuman. Sebagaimana disebut di atas, keterangkuman telah menjadi prinsip utama Model Baru Ekonomi (MBE) yang menjadi kerangka ekonomi Malaysia menuju ekonomi berpendapatan tinggi serta dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Urus tadbir ekonomi yang bersih, amanah, telus dan penuh kebertanggungjawaban bukan sahaja dapat memastikan dana awam dan swasta dalam negera digunakan dengan cekap, malah ia dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara bagi menarik kemasukan pelaburan luar negara. Sedang kita masih mempunyai enam tahun lagi untuk ke tahun 2020, pelaburan asing boleh menjadi sumber utama ekonomi untuk memacukan ekonomi Malaysia.
Fokus Seminar
Model Baru Ekonomi (MBE) Bahagian Ke-2 menekankan langkah-langkah dasar yang strategik dalam menjayakan 12 NKEA yang disasarkan. Secara amnya, langkah tersebut berkait rapat dengan pengukuhan semula peranan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Manakala, kerajaan tidak dillihat sebagai pesaing kepada sektor swasta tetapi sebagai rakan strategik yang baik. Untuk itu, kerajaan telah melakukan liberasi dalam sektor ekonomi dan kewangan. Pada 2009, kerajaan telah secara berani meliberalisasi 27 subsektor perkhidmatan untuk menarik minat penyertaan sektor swasta terutama pelabur asing. Pada tahun yang sama, kerajaan juga telah melebarkan lagi liberalisasi sektor kewangan negara untuk mengukuhkan peranan sektor tersebut dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara. Pada penghujung 2013, kerajaan telah mengumumkan inisiatif baru bagi Dasar Pandang Ke Timur. Dalam dasar ini, Jepun bukan sahaja dilihat sebagai sumber pelaburan negara tetapi sebagai rakan usahasama dalam industri yang Malaysia mempunyai kelebihan berbanding seperti dalam rantaian penawaran industri Halal.
Langkah yang drastik yang telah diambil oleh kerajaan ini tentulah memerlukan sistem pengurusan dan perlaksanaan urus tadbir ekonomi yang bersih, amanah, telus dan penuh kebertanggungjawaban untuk menjayakan strategi tersebut. Asas urus tadbir ekonomi yang bersih, amanah, telus dan penuh kebertanggungjawaban mestilah pula berteraskan sistem nilai yang universal. Lantas, sistem nilai yang universal ini mestilah berteraskan fitrah manusiawi sebagaimana yang terpandu dalam naskhah samawi iaitu al-Quran dan al-Hadis.
Justeru, persidangan ini bermatlamat untuk menjadi platform perbincangan, perbahasan dan cadangan dari pelbagai aspek yang menjadi fokus kerajaan ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi, khususnya dalam konteks memantapkan pengurusan dan pelaksanaan dasar awam negara berlandaskan urus tadbir ekonomi yang bersih, amanah, telus dan penuh kebertanggungjawaban. Di samping itu, persidangan ini juga menjadi pencetus idea baru kepada pihak kerajaan khususnya untuk mengukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi ekonomi.
|