Taklimat Pengerusi Jawatankuasa Audit UKM (YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim) Kepada Ahli Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian Dan Auditi Tahun 2018 Hingga Tahun 2020.

Program Taklimat Pengerusi Jawatankuasa Audit UKM (YBhg.Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim) bagi Tahun 2018 telah diadakan pada 11 Oktober 2018 (Khamis) di Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori UKMbermula pukul 03.00 petang sehingga 05.00 petang.  Sesi taklimat ini turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Naib Canselor UKM, Timbalan Naib Canselor (HEPI) dan Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan ahli pengurusan Universiti yang lain termasukAhli Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian (MKB) dan pegawai yang terlibat secara langsung dengan skop pengauditan yang telah/akan dijalankan oleh Unit Audit Dalam pada tahun 2018 hingga 2020 di Pusat Tanggungjawab-Pusat Tanggungjawab yang berkenaan.

 

Taklimat anjuran Unit Audit Dalam ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman Ahli Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian (MKB) dan pihak auditi mengenai fungsi dan peranan Jawatankuasa Audit UKM dan Unit Audit Dalam UKM serta kerjasama yang perlu diberikan oleh auditi dalam membantu melancarkan proses pengauditan. Dalam taklimat tersebut, YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim telah menyampaikan taklimatnya berdasarkan beberapa skop penting meliputi:

  • Struktur Unit Audit Dalam UKM;
  • Keahlian Jawatankuasa Audit UKM;
  • Peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Audit UKM;
  • Penemuan/isu yang dilaporkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Audit UKM; dan
  • Tanggungjawab auditi.

Di antara intipati taklimatnya ialah berkenaan perlunya prestasi dan tadbir urus yang baik berjalan seiring. Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan supaya pihak PTJ lebih gigih dalam menambahbaik tadbir urusnya dengan mengambil tahu dan memperuntukkan masa dalam melaksanakan aktivitinya termasuklah dengan memastikan prosedur operasi standard disediakan dan disemak secara berkala serta memastikan dokumen-dokumen sokongan direkodkan dan difailkan dengan baik. YBhg. Dato’ Dr. Lukman juga mengingatkan kepada semua auditi agar pelan perancangan bagi sesuatu aktiviti yang akan dilaksanakan perlulah ditetapkan tarikh siapnya bagi memastikan pemantauan yang berkesan dapat dibuat.  Bagi sesi soal jawab, YBhg. Dato’ Dr. Lukman telah sudi menjawab soalan/mendengar pandangan berkaitan dengan tadbir urus daripada 4 orang peserta termasuklah daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Naib Canselor UKM sendiri.

Di akhir taklimat, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Naib Canselor UKM mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim di atas taklimat yang telah diberikan yang diharapkan mampu memberi kesedaran kepada kumpulan sasaran untuk menambahbaik tadbir urus Universiti secara keseluruhannya.

 

Bagi pihak UAD UKM pula, jutaan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim di atas kesudian beliau menyampaikan taklimat tersebut. Tidak lupa juga buat semua kakitangan UAD UKM di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan dalam menjayakan penganjuran taklimat ini.  Bagi menghargai kesudian YBhg. Dato’ Dr. Lukman, dititipkan  dua rangkap pantun seperti berikut:

 

Taklimat Dato’ penuh ketenangan

Pengisian bernas, maklumat berkesan

Tadbir urus yang baik jadi pegangan

Jadi azimat kecemerlangan pengurusan

 

Menangkap kepah terjumpa lokan

Hati gembira melonjak keriangan

Jutaan terima kasih UAD ucapkan

Budi Dato’ menjadi kenangan