Taklimat Risk Based Internal Audit (RBIA)

Jpeg

Unit Audit Dalam (UAD) UKM telah mengahadiri sesi Taklimat Risk Based Internal Audit (RBIA) yang telah diadakan pada 19 Mei 2016 (Khamis) bertempat di Ruang Seminar Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Melaka. Taklimat ini disertai oleh 11 orang kakitangan UAD UKM yang terlibat menjalankan pengauditan dan 13 staf UAD UTEM.

Taklimat ini telah disampaikan oleh En. Ahmad Izwan Adnan, Pengarah Eksekutif, Salihin Consulting Group. Taklimat ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan pengetahuan berkaitan RBIA melalui penerangan dan pengalaman penceramah dalam melaksanakan RBIA di beberapa organisasi bagi membolehkan RBIA tersebut dilaksanakan di UAD UKM.

RBIA adalah satu kaedah yang menghubungkaitkan audit dalaman dengan kerangka kerja pengurusan risiko organisasi secara menyeluruh. Melalui RBIA, Audit Dalaman boleh memberikan kepastian kepada Lembaga Pengarah bahawa proses pengurusan risiko telah menguruskan risiko dengan berkesan berhubungkait dengan risk appetite (selera risiko). Pelaksanaan RBIA ini adalah selaras dengan keperluan standard IPPF. Perbentangan adalah meliputi pengenalan RBA, pengenalpastian risiko, pembangunan pelan tahunan audit menggunakan RBA dan praktis pelaksanaan berdasarkan pengalaman penceramah.

Pihak Audit Dalam mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UAD UTEM atas kesudian menjemput UAD UKM untuk turut serta dalam taklimat RBIA ini. Ucapan ribuan terima kasih juga buat En. Ahmad Izwan Adnan di atas penerangan dan pengalaman yang dikongsikan serta berterima kasih kepada peserta yang menghadiri taklimat tersebut. Pihak audit berharap satu bengkel RBIA dapat direalisasikan dalam masa terdekat susulan daripada taklimat RBIA ini bagi mendapatkan kefahaman yang lebih jelas mengenai pelaksanaan RBIA dan seterusnya dapat diimplementasikan di UAD UKM dalam memenuhi keperluan standard IPPF sebelum penilaian QAR dibuat oleh pihak yang berkelayakan.