topimage
 
 
Laman Utama
Sub Tema
Tarikh Penting
Pendaftaran
Pembayaran (online)
Kertas Kerja
Prosiding PERKEM
Dialogue
Hubungi kami
 

PENGENALAN

Menjelang lima tahun ke hadapan, matlamat negara untuk mencapai Wawasan 2020 telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan getir akibat daripada kejutan global seperti kejatuhan harga komoditi utama, kelembapan ekonomi dunia dan senario politik antarabangsa yang tidak menentu. Selain itu, isu domestik seperti ketidakstabilan Ringgit Malaysia (RM), defisit fiskal yang berpanjangan, keberkesanan tadbir urus dan peningkatan kos sara hidup telah menjadi suatu cabaran berganda kepada negara dalam usaha untuk merealisasikan misi Wawasan 2020.

Walau bagaimanapun, isu kejutan global dan domestik tersebut adalah di luar kawalan negara, dan seharusnya pihak kerajaan memandang ke hadapan untuk menangani isu tersebut secara bijaksana. Justeru, untuk menangani cabaran tersebut maka ianya memerlukan perlaksanaan dasar awam yang proaktif, berhemah, pragmatik dan dinamik. Dalam hal ini, langkah kerajaan melaksanakan reformasi fiskal seperti merasionalisasikan subsidi, mempelbagaikan sumber pendapatan negara seperti mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan program penjimatan fiskal adalah satu langkah yang pragmatik untuk melestarikan daya tahan fiskal negara. Selain itu, langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE),  Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup serta membuat semakan semula terhadap Belanjawan 2016 adalah merupakan suatu langkah yang proaktif dan dinamik. Walau bagaimanapun, sejauh mana keberkesanan langkah-langkah tersebut kepada masyarakat dan negara, dan kaedah perlaksanaan dasar baharu tersebut, ianya memerlukan perbahasan secara menyeluruh di kalangan para cendekiawan untuk memformulasikan suatu strategi yang ampuh.

Perlaksanaan dasar awam yang baharu tersebut sudah pasti memerlukan satu strategi penyampaian yang menyeluruh, berkesan dan optimum supaya matlamat dasar tersebut dapat direalisasikan. Maka, komitmen, penglibatan dan kerjasama antara agensi sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sektor swasta adalah pra-syarat untuk menjayakan dasar-dasar yang telah digubal. Tambahan lagi, dalam usaha untuk merealisasikan impian menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, ekonomi yang berdaya tahan dalam persekitaran global dan domestik yang tidak menentu memerlukan asas ekonomi yang kukuh, dan digabung dengan dasar awam yang telus, cekap, dan lestari. Misalnya, dalam konteks persekitaran global, cadangan untuk menubuhkan “ASEAN Economic Community” (AEC) dan “Trans-Pacific Partnerships Agreement” (TPPA) dijangka memberikan impak yang besar kepada isu daya saing negara khususnya kepada industri kecil dan sederhana, pemerolehan kerajaan, pasaran buruh, perdagangan pelbagai hala, pelaburan asing, paten dan hak cipta. Justeru, untuk meningkatkan daya saing negara peranan inovasi, kreativiti, latihan dan pendidikan, modal insan, serta kecekapan pasaran adalah satu pemangkin untuk meneruskan agenda pembangunan nasional.

Selain daripada itu, daya tahan dalam sektor kewangan, dan daya saing dalam menarik pelaburan asing juga adalah penting untuk menjamin kelestarian pembangunan sosio-ekonomi dalam jangka masa panjang. Justeru, langkah-langkah reformasi, liberalisasi dan pemodenan dalam sektor kewangan dapat memperkasakan lanskap dan rangkaian kewangan negara dan mendorong penyertaan aktif pelaburan asing dan domestik. Maka, pengukuhan institusi kewangan (bank dan bukan bank) secara menyeluruh melalui kawalselia, pemantauan dan regulasi yang cekap dan konsisten dengan piawaian kewangan antarabangsa menjadi pemangkin kepada kelestarian sistem kewangan domestik dalam arus global. Persoalannya, sejauh mana institusi kewangan negara mampu bersaing daripada aspek kecekapan pengoperasian, strategi perniagaan, struktur kewangan dan inovasi produk merupakan isu-isu yang menarik untuk dibahaskan.

Dalam usaha untuk mendokong Wawasan 2020, negara bukan sahaja perlu mencapai pendapatan per kapita yang tinggi, tetapi juga perlu memastikan agihan pendapatan yang seimbang di kalangan masyarakat mengikut etnik, dan strata. Di samping itu, kebajikan dan kesejahteraan golongan masyarakat bawah 40 (B40) dan medium 40 (M40) perlu diberi keutamaan untuk membantu golongan ini yang terjejas akibat daripada peningkatan kos sara hidup. Maka, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, tindakan yang proaktif dan pragmatik perlu dilaksanakan untuk meringankan beban golongan tersebut. Maka, isu-isu yang melibatkan kos sara hidup seperti peningkatan harga barang keperluan asas, peningkatan harga rumah dan sewa kediaman, serta peningkatan kos perjalanan dan utiliti perlulah ditangani dengan segera untuk kesejahteraan sejagat. Selain itu, kajian mengenai kesejahteraan warga emas, kanak-kanak dan wanita, gelandangan dan orang kelainan upaya adalah penting untuk memastikan golongan masyarakat tersebut tidak terpinggir dalam arus perdana. Isu kelestarian kualiti alam sekitar, pembangunan wilayah, luar bandar dan komuniti serta kesihatan dan jaminan sosial juga perlu diberi perhatian oleh para penyelidik.  
  

 

Laman Utama| Sub Tema | Tarikh Penting | Pendaftaran | Pembayaran | Kertas Kerja | Hubungi Kami