LATARBELAKANG PERSIDANGAN
Tidak dinafikan bahawa Wawasan 2020 bukanlah sekadar impian. Matlamat asas negara untuk mencapai taraf negara maju dalam tempoh satu dekad dari sekarang itu diyakini boleh dicapai menerusi transfomasi menyeluruh sektor ekonomi, sosial dan kerajaan. Dalam aspek ekonomi, fokus utama adalah untuk menggerakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Strategi ini memerlukan pencapaian sasaran pertumbuhan ekonomi antara lima hingga lapan peratus setahun dan pertumbuhan itu pula semestinya bersifat holistik, mapan serta mengutamakan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat. Persoalannya bagaimana ekonomi Malaysia boleh dijelmakan kepada ekonomi berpendapatan tinggi dalam persekitaran serantau dan global yang semakin bersaing dan lebih mencabar. Pada masa yang sama, bagaimana penjelmaan tersebut dapat memastikan pembangunan ekonomi dan sosial yang mapan serta mesra alam yang akan dinikmati manfaatnya secara saksama oleh seluruh rakyat.
Model Ekonomi Baru (MEB) menyentuh persoalan asas tetapi amat kritikal dalam menentukan hala tuju, pendekatan dan strategi yang akan diguna pakai dalam proses transformasi negara. MEB antara lain menggariskan sekurang-kurangnya dua belas bidang ekonomi utama Negara (NKEA) yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya melonjakkan kuantum pendapatan per kapita daripada RM23,000 kepada RM49,000 pada 2020. MEB juga menggariskan lapan pelan tindakan, antaranya termasuklah langkah merangsang modal insan bagi meningkatkan kemunculan usahawan, pencipta dan pereka dalam kalangan rakyat.
Strategi lain adalah meningkatkan pelaburan domestik dan asing, merasionalisasikan subsidi secara berperingkat, mengehadkan pengambilan pekerja asing dan inisiatif hijau. Pelaksanaan transformasi menyeluruh sesebuah negara bukanlah sesuatu yang mudah. Usaha ini memerlukan iltizam dan perancangan jitu. Di samping itu, institusi utama seperti institusi kewangan dan modal, institusi pasaran, termasuk pasaran buruh, serta mekanisme pengagihan juga perlulah ditambah baik untuk menyokong bukan sahaja pertumbuhan mapan yang berupaya meningkatkan kualiti hidup tetapi juga pengagihan manfaat ekonomi yang lebih saksama.
MEB merupakan satu pendekatan baru dalam menguruskan pembangunan ekonomi Malaysia. Pendekatan ini lebih bersifat model perniagaan yang dipacu oleh kerajaan dan pendekatan ini jarang diamalkan oleh negara pasaran bebas. Oleh itu, pelaksanaan model ini perlu diteliti dengan rapi agar dapat dikenal pasti segala risiko yang berkemungkinan berlaku.
OBJEKTIF
- Membincang, menilai secara kritis dan menyebar luas pendekatan, matlamat dan strategi model ekonomi baru.
- Mengenal pasti cabaran dan halangan dalam mentransformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
- Mengumpul penemuan kajian yang boleh menjadi panduan dasar ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi mapan, kesaksamaan pendapatan dan kualiti hidup.
|