Kursus Kajian Ingatan

Pengenalan

Kajian ingatan (memory studies) merupakan suatu bidang yang baharu di Malaysia. Walau bagaimanapun, bidang ini sudah semakin popular dalam kajian sains sosial terutamanya di negara-negara yang Eropah serta negara-negara yang sedang melalui fasa pasca-konflik. Ini kerana kajian ingatan dapat membantu negara-negara tersebut untuk mengukuhkan identiti kebangsaannya bagi menyatupadukan masyarakat mereka—dengan menggunakan pengalaman masa lalu sebagai suatu sempadan, pengajaran serta asas kepada pembinaan negara-bangsa mereka. Identiti kebangsaan yang dipupuk ini, bahkan, telahpun menjadi penggerak yang berdaya tinggi, sehingga ideologi-ideologi besar lainnya turut berdepan cabaran semasa.

Sungguhpun begitu, nilai praktis kajian ingatan terhadap pembinaan negara-bangsa ini hanyalah salah satu daripada demikian banyaknya peranan yang boleh dimainkan oleh kajian ingatan. Butiran yang lain seperti tuntutan pemberian makna [tafsiran, representasi] akibat peristiwa traumatik boleh juga menjadi alasan yang memunasabahkan kepentingan kajian ingatan ini. Selain itu, perginya generasi yang terlibat/menyaksi (witnesses) menambah lagi keperluan adanya kajian ingatan yang dapat merakam pengalaman masa lalu. Usaha ini bukanlah suatu yang mustahil, lebih-lebih lagi dengan bantuan pengaruh media, sains dan teknologi mutakhir yang menghubungkan peranan arkib/kanun dengan kajian ingatan itu sendiri. Perkembangan ini turut memperkasakan industri perlancongan yang sebahagiannya berkait rapat dengan ingatan (juga nostalgia) menerusi pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan tempat-tempat bersejarah.

Berasaskan konteks ini, maka kajian ingatan –pada asasnya– bolehlah dirumuskan sebagai suatu kajian yang mempertimbangkan aspek hubungan antara masa (lalu, kini, depan) dengan masyarakat (society). Pertimbangan ini, pada hakikatnya, memang berupaya menawarkan perspektif yang lebih terangkum (inclusive) sehingga dapat merayakan kerumitan (complexity) yang terdapat dalam sesebuah masyarakat tersebut. Rentetan itu, Malaysia sebagai sebuah projek berterusan (ongoing project) boleh mendapat manfaat daripada perkembangan “memory boom” ini. Hal ini boleh dikesan dengan konteks Malaysia yang terdapat pelbagai budaya, etnik, agama dan latarbelakang—yang mana perbezaan ketara ini menuntut kepada suatu pencarian identiti bersama (shared identity) dan makna bersama (shared meaning). Kajian Ingatan adalah “titik mula” serta “titik temu” kepada penerokaan penting buat kemandirian (survivability) Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa yang maseh mengkal. Lantaran itu, IKMAS membawa Kursus Kajian Ingatan IKMAS 2020 yang membuka jalan kepada penerokaan yang dimaksudkan.

 

Sila klik di sini untuk pendaftaran