Sains disebalik CRed

Iklim semulajadi

Bumi ditetapkan suhunya pada keadaan yang sesuai untuk dihuni. Di kawasan atas atmosfera terdapat lapisan tipis gas-gas yang melitupinya. Gas-gas ini bertindak seperti rumah hijau, ataupun selimut tebal, lantas memerangkap haba daripada terlepas ke angkasa lepas. Ini dikenali sebagai kesan rumah hijau dan berlaku secara semulajadi sepenuhnya.

a

  

Salah satu elemen terbesar dalam lapisan gas-gas rumah hijau ini ialah karbon dioksida (CO2). Para saintis telah menyimpulkan bahawa jumlah CO2 dalam atmosfera adalah berhubung kait dengan keadaan cuaca dunia. Sebagai contoh, sekiranya dunia sedang berada dalam Zaman Ais ia adalah bersamaan dengan keadaan yang CO2 secara relatifnya sangat sedikit dalam atmosfera. Sebaliknya rekod cuaca menunjukkan bahawa sewaktu tempoh panas secara relatifnya terdapat sejumlah besar CO2 dalam atmosfera.

Faktor Manusia (mempercepatkan perubahan iklim)

Pada awal 1700 Abraham Darby telah berjaya menyahkarbon daripada arang batu lalu menukarkannya kepada ‘coke’ yang lantas memulakan revolusi perindustrian. Sejajar dengan peredaran masa, kita mula membakar bahan api fosil (arang batu, minyak dan gas) dalam kuantiti dan jenis yang lebih banyak. Peradaban manusia sangat bergantung kepada bahan api berkenaan bagi hampir setiap apa yang kita miliki dan lakukan dalam hidup.

Kehidupan di bumi adalah berasaskan karbon. Bahan api fosil merupakan tinggalan tumbuhan, pokok dan haiwan yang telah lama mati serta sangat kaya dengan karbon. Membakar bahan api fosil membebaskan CO2 daripada karbon yang sebelumnya terperangkap di bawah permukaan bumi.

Masalahnya ialah sewaktu kesemua tumbuhan dan haiwan mati dan tertanam berjuta-juta tahun dahulu, iaitu sewaktu suhu di bumi adalah sedikit lebih panas dari masakini, ianya telah teperangkap bersama karbon. Sistem iklim bumi (atmosfera dan lautan secara bersama) telah menjadi stabil pada suatu kepekatan atmosfera bagi kandungan karbon dioksida. Melepaskan kesemua karbon dioksida yang terperangkap tadi selama tempoh 250 tahun yang lalu pada kadar yang semakin pantas telah menyahstabilkan iklim melalui peningkatan kesan rumah hijau, yakni menjadikan bumi semakin panas.

Harus diingat bahawa bahan api fosil mengambil masa berjuta tahun untuk memerangkap kesemua karbon berkenaan tetapi kita hanya mengambil selama 250 tahun untuk membakar kebanyakannya dan membebaskan begitu banyak sekali CO2.

a

  

Lebih banyak maklumat berkenaan perubahan iklim boleh diperolehi di Climatic Research Unit, School of Environmental Sciences, University of East Anglia www.cru.uea.ac.uk.

Masa Hadapan

Walaupun perubahan iklim merupakan suatu proses semulajadi, akibat daripada kekalutan industrialisasi, kita telah mengubah kadar semulajadi perubahan dengan mempercepatkannya secara radikal. Kita telah tiba kepada satu tahap yang kepekatan atmosfera bagi CO2 telah berubah melepasi apa yang pernah disaksikan bumi selama ini.

Di luar negara, kesan perubahan iklim amat dirasai dengan perbezaan suhu yang ketara dan tingkahlaku iklim yang sukar diramal. Di United Kingdom, sejak beberapa tahun yang lepas, suhu terpanas pernah direkodkan. Pada musim panas tahun 2003, rekod kematian di seluruh Eropah meningkat kerana cuaca panas melampau. Kejadian taburan hujan yang ekstrem dijangka akan meningkat, mengakibatkan banjir yang semakin kerap bagi berjuta penduduk. Musim panas pula diramalkan bertambah kering bagi kebanyakan kawasan. Paras laut akan meningkat lebih tinggi lagi – tambahan 20 cm menjelang 2050.

Di Malaysia, kesannya kurang dirasai walaupun ianya wujud.  Ini kerana kita sudah terbiasa dengan keadaan hujan sepanjang tahun dan panas.  Kejadian banjir besar di Johor umpamanya merupakan kesan dari perubahan tekanan udara di atmosfera yang menyimpangkan laluan tiupan taufan yang membawa hujan.  Peningkatan suhu di Malaysia diramalkan pada sekitar 0.18OC dalam tempoh sedekad. Bagaimanapun kita harus lebih berjaga-jaga kerana diramalkan variasi perbezaan hujan adalah diantara -30% hingga +30% dari keadaan sekarang.  Ini bermakna jika berlaku kekurangan hujan, kemarau akan berlaku dan lebihan hujan bermaksud banjir akan berlaku.  Kedua-duanya tidak baik untuk Malaysia terutamanya dari segi sumber makanan iaitu sektor pertanian.

Perubahan-perubahan ini hanya merupakan suatu permulaan. Dengan bumi semakin panas dan perubahan mula berlaku kepada ciri utama sistem iklim dunia, seperti kepingan ais kutub yang mencair atau perubahan corak kitaran lautan, kejutan luar jangka iklim yang pantas boleh terjadi.

Lebih banyak maklumat berkenaan impak perubahan iklim boleh diperolehi di Tyndall Centre for Climate Change Research - www.tyndall.ac.uk.


Apa yang boleh dilakukan?

Kita mempunyai tiga pilihan: Terus berkelakuan seperti biasa dan belajar untuk menyesuaikan diri, mencari cara bagi menjuruterakan sistem Bumi, atau kita boleh berhenti menggunakan tenaga berasaskan karbon.

Kita telahpun belajar untuk menyesuaikan diri, sebagai contoh dalam cara kita menguruskan sesuatu kawasan pantai. Namun terdapat beberapa impak perubahan iklim yang sangat sukar untuk disesuaikan. Bagaimanakah anda menyesuaikan diri dengan kediaman anda yang dilanda banjir setiap musim tengkujuh berbanding hanya sekali setiap 10 musim tengkujuh? Bagaimanakah anda menyesuaikan diri apabila kediaman dan kehidupan anda lenyap di bawah perut laut?

Beberapa buah fikiran telah dicadangkan untuk menjuruterakan sistem iklim Bumi. Kaedah yang digelar projek geo-kejuruteraan termasuklah menggunakan pembalikan di angkasa bagi memintas pancaran matahari; menyuntik partikel membalik ke dalam bahagian atas atmosfera bagi melakukan perkara yang sama; membaja lautan bagi meningkatkan bilangan organisma yang boleh menyerap CO2; atau memerangkap karbon atmosfera dan menanamkannya dalam ruangan bawah tanah yang dalam. Masalah dengan penyelesaian-penyelesaian ini ialah ketidaktentuan terhadap cara ia berfungsi – mereka mungkin bertindak dalam cara yang mengakibatkan masalah lebih dahsyat berbanding masalah asal yang cuba diselesaikan.

Kita perlu belajar untuk hidup dengan kurang menggunakan bahan api fosil. Kita akan  terpaksa melakukannya sekalipun di masa hadapan kerana sumber bahan api fosil adalah terhad. Adalah lebih wajar untuk kita melakukannya sekarang.

Kita tahu yang kita perlu mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 60% dalam jangkamasa 50 tahun akan datang. Kita tahu yang kita mempunyai teknologi yang boleh digunakan sekarang untuk mencapai matlamat ini. Kita tahu bahawa terdapat teknologi, seperti penggunaan hidrogen sebagai bahan api, yang bakal menjadi perkara biasa dalam beberapa dekad mendatang. Kita mempunyai potensi untuk mengubah kebergantungan kepada bahan api fosil dalam beberapa dekad mendatang dengan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

CRed sedang berusaha untuk mendapatkan cara terbaik bagi menggunakan semua alat yang kita ada bagi mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan karbon. Teknologi baru rendah karbon yang mana satukah yang benar-benar berfungsi dalam dunia sebenar? Apakah tindakan yang boleh memberikan pengurangan terbanyak pengeluaran CO2? Setakat manakah manusia dapat mengubah gaya hidup untuk mencapai cabaran ini? Persoalan-persoalan inilah yang sedang ditangani CRed.
© CRed @ UKM 2009. all rights reserved | Engineered By aWiTyANz