Laman Utama
Sub Tema
Tarikh Penting
Pendaftaran
Pembayaran (online)
Kertas Kerja
Hubungi kami
Prosiding PERKEM
Galeri Perkem
Atur cara Perkem-10
Sesi Pembentangan

PENGENALAN

Kekayaan inklusif dan pertumbuhan inklusif adalah dua elemen yang perlu dan saling melengkapi antara satu dengan lain. Kedua-dua elemen ini menekankan agihan kekayaan yang inklusif supaya dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat dalam mencapai hasrat sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi. Lebih daripada itu, sudah semestinya Malaysia ingin menjadi sebuah negara maju yang amat mengutamakan kelestarian pembangunan dan masyarakat yang berkualiti dari segi sikap dan first class mentality. Atas justifikasi tersebut, seminar kali ini membawa suatu tema yang bersifat holistik, selari dengan hasrat pemimpin, pembuat dan pelaksana dasar serta setiap lapisan masyarakat dengan tema ‘Kekayaan Terangkum Teras Pembangunan Lestari’ sebagai tema PERKEM Ke-10 bagi tahun ini.

Seperti semua sedia maklum, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Abdul Razak, negara telah pun melancarkan pelbagai bentuk dasar dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (2010-2014). Beberapa program yang amat signifikan kepada negara ialah Model Ekonomi Baru (NEM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program National Key Economic Areas (NKEAs). Di bawah NEM juga telah dilancarkan Dasar Upah Minimum bertujuan membela golongan berpendapatan rendah dan mempertingkat taraf hidup golongan tersebut. Di bawah ETP pula menerusi NKEAs telah dikenal pasti sektor-sektor yang dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, sejajar dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan asing.

Berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP), negara diletakkan target untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi. Manfaat kepada golongan sasaran telahpun dinyatakan secara jelas di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), antaranya memperluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan menambah baik pengangkutan awam bandar, disamping  mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah. Namun demikian, satu isu yang perlu dipersoalkan ialah mampukah target tersebut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah, rakyat termiskin dan kumpulan minoriti di negara ini. Tambahan pula dengan peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat dan situasi persekitaran ekonomi dan politik global yang tidak menentu masa kini, sudah pasti cabaran yang lebih hebat bakal dihadapi.

Dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi, keterangkuman kekayaan dan keterangkuman pertumbuhan semestinya tidak mengabaikan semua golongan sasaran yang dinyatakan. Justeru itu, usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi adalah suatu yang murni, namun beberapa aspek utama amat perlu diberi perhatian. Selain golongan sasaran, aspek lain yang masih perlu diberi perhatian ialah tingkat produktiviti, eksport, inovasi dan kemajuan teknologi, pengurusan organisasi yang cekap dan aspek daya saing amat penting dalam menyumbang kepada peningkatan produktiviti keseluruhan (TFP). Status negara ekonomi berpendapatan tinggi dan akhirnya negara maju yang ingin dicapai mestilah sama sekali tidak mengabaikan kelestarian pembangunan (green economy), di samping sistem pentadbiran yang telus (good goverance), tiada rasuah, kadar jenayah yang minimum dan sokongan daripada pihak swasta adalah amat bermakna dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

 

 

 

Laman Utama| Tarikh Penting | Pendaftaran | Kertas Kerja | Hubungi Kami | Galeri Perkem