Bengkel Latihan Industri Pusat Pengajian Media dan Komunikasi
Nurul Syazwani Bt Johari
UKM : “Saya berharap anda semua telah bersedia dari segi luaran dan dalaman untuk menjalani latihan industri pada semester hadapan,” kata Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (PPMK), Dr. Normah Mustafa dalam ucapan perasmian beliau semasa merasmikan bengkel latihan industri pada 14 Disember 2012.
Bengkel yang berlangsung selama satu hari tersebut adalah anjuran Pusat Pengajian Media dan Komunikasi yang melibatkan pelajar - pelajar tahun akhir. Menurut Dr. Normah Mustafa lagi, bengkel ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi sebagai persediaan menghadapi latihan industri yang akan datang. Terdapat beberapa aktiviti dijalankan sepanjang bengkel tersebut.
Antaranya terdapat dua slot forum turut dimuatkan dalam bengkel ini iaitu forum pertama adalah forum bersama wakil daripada tempat latihan industri dijalankan. Sebanyak tiga buah organisasi terlibat dalam forum tersebut iaitu organisasi BERNAMA, Utusan Karya dan Kementerian Pengajian Tinggi. Slot forum kedua pula melibatkan alumni PPMK yang dijemput untuk menceritakan dan berkongsi pengalaman mereka sepanjang menjalani latihan industri.
Apabila ditanya mengenai pendapat pelajar mengenai bengkel tersebut, seorang pelajar dari jurusan Komunikasi dan Pengurusan Maklumat, Sharifah Nurafiqah berkata, “Saya berasa sangat gembira menghadiri bengkel tersebut kerana informasi yang diberikan oleh organisasi dan alumni-alumni membuatkan saya faham apa itu latihan industri. Perkongsian pengalaman daripada mereka juga membolehkan saya bersedia untuk menghadapi sesuatu situasi yang mungkin terjadi.”
“Program ini sangat menarik. Pensyarah-pensyarah yang terlibat juga bersikap profesional dan menghiburkan hati kami. Selain itu, sesi terakhir bengkel tersebut turut memberikan banyak kelebihan. Kami diberi tunjuk ajar untuk menghadapi masalah yang sering berlaku dalam dunia industri,” kata pelajar Komunikasi dan Pengurusan Maklumat, Loke Kar Wai.