coklat
oleh nurul syazwani johari
Setiap individu tanpa mengira peringkat umur pasti menggemari coklat kerana kelazatannya. Walau bagaimanapun, pengambilan coklat secara berlebihan lazimnya sering dilabelkan sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan. Namun, tahukah anda bahawa coklat amat memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan tubuh badan kita?
Coklat ialah sejenis bahan makanan yang mengandungi tiga bahan utama yang berasaskan koko seperti likur dan lemak koko, gula dan susu. Oleh itu, coklat bukan sahaja merupakan bahan makanan yang lazat tetapi juga kaya dengan zat yang diperlukan. Sumber tenaga yang tinggi dalam coklat adalah berasaskan kepada kandungan lemak, karbohidrat dan protein. Di samping itu, coklat juga mengandungi asid amino yang lengkap bagi pemeliharaan protein tubuh manusia, kaya dengan vitamin A dan D serta sumber vitamin B seperti Tiamina, Riboflavin dan Niasin.
(Sumber : Buku Kisah Koko, 1997, Lembaga Koko Malaysia)
Satu kajian telah dilakukan oleh Zulphen, Belanda selama 15 tahun terhadap 472 orang lelaki yang berumur antara 65 hingga 84 tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka. Kaum lelaki yang dipilih ialah mereka yang sihat serta tidak pernah mengambil ubat penyakit darah tinggi. Apabila dikenal pasti, lelaki yang mengambil sebiji coklat iaitu sebanyak 10 gram coklat setiap hari mempunyai tekanan darah yang lebih rendah dan dianggarkan kira-kira 50% terhindar daripada kematian serta cenderung memiliki jangka hayat yang lebih lama berbanding mereka yang tidak mengambil sebarang coklat.
(Sumber : Journal of Dental Hygiene, Spring 2006 by Katie Barge )
Antara kelebihan coklat ialah:
1. Coklat dapat menangani tekanan (stress)
- Coklat yang dihasilkan daripada koko mempunyai sumber antioksida yang mana kandungan poliifenol di dalamnya dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dengan cara mencegah Low Density Lipoproteins (LDL).
- Oleh itu, satu kajian telah dijalankan di Jepun dan menunjukkan pengambilan antioksida semasa stress memberi kesan pada stamina. Hal ini menunjukkan bahawa polifenol di dalam koko berupaya mempengaruhi emosi seseorang walaupun dalam keadaan yang tertekan dan merupakan salah satu langkah mengurangkan tekanan.
2. Coklat melambatkan proses penuaan
- Penuaan adalah proses yang disebabkan oleh pendedahan yang melampau oleh faktor radikal. Oleh itu, diet yang kaya dengan antioksida boleh memainkan peranan dalam melambatkan proses penuaan.
- Kajian mendapati bahawa jangka hayat seseorang itu boleh dilanjutkan selama 5 hingga 10 tahun melalui diet yang seimbang di samping kaya dengan antioksida.
3. Coklat bukanlah penyebab kegemukan
- Tahukah anda bahawa coklat terutamanya coklat susu adalah tinggi dengan kalori? malah ianya pernah dianggap membantu dalam meningkatkan lagi berat badan seseorang. Namun, ramai yang beranggapan sebaliknya, iaitu minum secawan coklat panas sebelum makan dapat mengawal selera makan.
- Seorang penyelidik pernah membuat kajian bertujuan untuk membantu pesakit obesiti mengurangkan berat badan mereka. Salah satu cara yang ditemui dalam kajian tersebut ialah mengamalkan makan coklat di samping makanan seimbang yang lain.
4. Coklat bukanlah penyebab jerawat
- Para doktor mempercayai bahawa masalah jerawat atau masalah kulit muka tiada kaitan dengan pengambilan coklat. Namun, masalah tersebut lebih dipengaruhi oleh tekanan dan masalah hormon.
5. Coklat tidak akan meningkatkan kolestrol dalam darah
- Pengambilan coklat dalam kuantiti yang banyak oleh seseorang individu tidak akan memberi kesan terhadap tahap kolestrol dalam darah. Hal ini kerana coklat mengandungi asid sterik iaitu asid lemak tepu yang tidak akan memberi kesan terhadap tahap kolestrol. Asid sterik ini merupakan kolestrol baik yang tidak mengakibatkan arteri tersumbat.
(Sumber : Lembaga Koko Malaysia)