klik dengan bijak
oleh to oi lli
Kebaikan jalur lebar memberi manfaat kepada saluran Internet yang mampu memperkasakan masyarakat berilmu selain menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi atau Information and Communication Technologies (ICT) sebagai pemangkin minda negara. Internet menjadi komponen utama dalam kehidupan seharian dan penggunaannya akan bertambah pada masa akan datang.
Hanya dengan satu klik, segala keperluan harian dapat dilakukan dalam sekelip mata. Namun begitu, penggunaan Internet juga boleh mendatangkan keburukan sekiranya ia disalahgunakan. Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melancarkan sebuah Kempen Klik Dengan Bijak pada 1 Julai 2012 bertempat di padang Sekolah Menengah Penanti, Permatang Pauh pada pukul 9 pagi hingga 5 petang yang dirasmikan oleh Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi Malaysia iaitu YB Dato’ Seri Dr. Rais Yatim.
Konsep Klik Dengan Bijak adalah berdasarkan kepada Rukun Negara ‘kesopanan dan kesusilaan’ yang selari dengan Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah Akta Komunikasi Multimedia 1998. Matlamat ini bertujuan membina sebuah masyarakat bertamadun, memupuk kandungan kebudayaan masyarakat tempatan, memastikan keuntungan untuk jangkamasa yang lama kepada pengguna, memupuk keyakinan pengguna dan mewujudkan persekitaran aplikasi yang kuat dan sihat.
Berikut adalah langkah-langkah terbaik untuk melindungi diri anda daripada unsur-unsur negatif di Internet iaitu:
a) Risalah perbankan Internet: kearah pengguna bijak dan selamat,
b) Risalah Amalan Phishing: fakta yang perlu anda tahu kempen kesedaran keselamatan Internet, c) Risalah panduan keselamatan di Internet,
d) Risalah panduan keselamatan di Internet melalui kata laluan dan
e) Buku panduan keselamatan.
Amalan baik yang patut dipraktikkan semasa melayari Internet ialah masyarakat perlu mengamalkan kawal selia kendiri dan mengunakan Internet secara positif serta merahsiakan maklumat peribadi anda. Anda perlu berfikir dahulu sebelum meletakkan apa-apa kandungan di Internet dan hormati orang lain ketika berkongsi pandangan malah anda perlu semak kesahihan maklumat sebelum mempercayainya. Selain itu, masyarakat turut perlu melayari laman web yang berfaedah dan hindari isi kandungan yang tidak sihat serta laporkan kepada pihak pentadbir laman web sekiranya terjumpa isi kandungan yang tidak sesuai.
“Saya mengetahui tentang Kempen Klik Dengan Bijak selepas menghadiri seminar yang dianjurkan oleh SKMM dan kebanyakan pelajar Universiti Kebangssaan Malaysia (UKM) tidak menyedari tentang kewujudan pelancaran kempen ini. Klik dengan bijak bermaksud menggunakan Internet dengan sebaik mungkin, dan melayari laman web yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Saya berpendapat hampir 60% pelajar UKM menggunakan Internet dengan baik walaupun tidak mengetahui tentang kempen ini kerana kita boleh berfikir tentang apa yang patut atau tidak patut dilayari,” menurut pelajar jurusan Media daripada UKM iaitu Nor Salsabil binti KK Mohammad.
Kempen Klik Dengan Bijak adalah program sampingan seminar yang saya hadiri semasa di SKMM. Klik dengan bijak bermaksud sebelum melakukan sesuatu di Internet, kita haruslah pastikan terlebih dahulu bahawa maklumat yang dicari adalah betul. “Pada pandangan saya, mahasiswa sepatutnya tahu cara untuk menggunakan Internet dengan baik. Penggunaan Internet sama ada secara baik atau sebaliknya adalah bergantung kepada individu tersebut. Kebanyakan pelajar tidak mengetahui tentang kewujudan kempen ini kerana hanya sebilangan kecil pelajar yang mengikuti program ini di SKMM dan mendapat pendedahan,” menurut pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM iaitu Chua Bee Lan.
Melayari Internet membuatkan anda berasa gembira terutamanya apabila berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga melalui pelbagai kemudahan seperti laman sembang, permainan atas talian dan blog. Perkara pertama adalah anda perlu berhati-hati, kerana kemudahan di hujung jari yang disediakan boleh mengundang masalah jika anda leka. Dalam keasyikan menggunakan Internet, anda mesti mengambil berat tentang langkah-langkah keselamatan yang boleh anda amalkan. Sesungguhnya lebih baik mencegah daripada mengubati.