langkah pencegahan samun
oleh muhammad nazmi a razak
Sejak kebelakangan ini masalah berkaitan samun semakin menjadi-jadi dan berlaku di kawasan kampus. Hal ini menyebabkan tahap keselamatan di kawasan kampus ini telah diragui dan menimbulkan tanda tanya kepada kebanyakan golongan mahasiswa dan mahasiswi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Masalah sebegini harus ditangani segera kerana dikhuatiri akan menganggu para pelajar dan seluruh warga UKM sama ada dari segi aspek fizikal mahupun psikologi. Apakah sebenarnya yang telah terjadi dengan peranan pihak pengurusan keselamatan? Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana secara langsung atau pun tidak kesejahteraan pelajar dan keseluruhan warga UKM ini memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran.
Perkara ini telah dirujuk kepada pihak berwajib di dalam hal ini iaitu Bahagian Keselamatan Jabatan Pendaftar UKM. Hasil daripada pertemuan ini, Pegawai Keselamatan Kanan Bahagian Keselamatan UKM iaitu Lt. Saidi Maarop TLDM (B) telah menjelaskan pelbagai perkara yang boleh merungkai dan membantu meringankan serba-sedikit berkaitan permasalahan yang kini sedang melanda para mahasiswa dan mahasiswi UKM.
Pertamanya, beliau menjelaskan bahawa permasalahan kes-kes sebegini sebenarnya adalah sesuatu yang baru dalam kalangan warga UKM. Kata beliau “ini adalah cerita baru”. Tambah Encik Lt. Saidi (B) lagi, penyamun ini makin setapak maju ke hadapan dibuktikan dengan beberapa siri kejadian yang berlaku dengan selang jarak masa yang pantas. Hal ini dipengaruhi oleh faktor keberanian si pelaku jenayah terbabit.
Seterusnya, Encik Lt. Saidi (B) menegaskan bahawa pihaknya tidak berdiam diri dengan masalah ini malahan telah memberi respon dengan melakukan pelbagai usaha bagi mencegah perbuatan jenayah tidak bermoral ini. Pihak mereka telah membahagikan beberapa anggota bagi melakukan penyamaran dengan berpakaian biasa di beberapa tempat yang dianggap sebagai kawasan jangkaan. Pemeriksaan di laluan keluar masuk UKM juga telah diperketatkan secara berkala terutamanya bagi yang bermotosikal. Hal ini didorong oleh kebanyakan kes dilakukan oleh penjenayah bermotosikal. Pemeriksaan individu pula akan dikenal-pasti melalui kad matrik, pas pelawat dan pas pekerja. Oleh itu, warga UKM dinasihatkan supaya sentiasa memakai kad-kad tersebut supaya memudahkan urusan jika anda diperiksa. Selain langkah-langkah tersebut, pihak keselamatan juga telah meletakkan seorang anggota bagi setiap kolej untuk mencegah kejadian yang tidak diingini dengan lebih pantas dan cekap.
Ulas beliau lagi, keselamatan dan kesejahteraan UKM juga haruslah dipikul bersama-sama dengan para pelajar dan seluruh warga UKM kerana kekuatan anggota Bahagian Keselamatan UKM yang hanya berjumlah 140 orang mungkin tidak mampu untuk menjaga keseluruhan warga UKM yang berjumlah beribu-ribu, maka, pelajar juga digalakkan mengambil inisiatif dalam menjaga diri, harta dan sebagainya.
Encik Lt. Saidi (B) juga sempat berpesan bahawa para pelajar juga harus sentiasa berada di dalam keadaan berwaspada dan jangan terlalu mempercayai orang di sekeliling seterusnya, menanamkan sifat sentiasa mencurigai secara berpada-pada. Beliau juga mengingatkan para pelajar supaya tidak berjalan secara berseorangan kerana situasi ini akan memudahkan lagi anda menjadi sasaran penjenayah terbabit. Jika anda menjadi mangsa pula, anda dinasihati supaya bertindak mengikut keadaan. Keselamatan diri harus diutamakan. Jika anda berasa selamat untuk menjerit atau melawan, anda boleh lakukan, tetapi jika sebaliknya, sila berada dalam keadaan bertenang, cuba untuk menghafal dan mengingati maklumat si penjenayah seperti rupa, pakaian, jenis dan nombor pendaftaran kenderaan dan sebagainya.
Di akhir perbualan, Encik Lt. Saidi (B) yang sentiasa begitu mesra dan tidak lekang dengan senyuman ini sempat memberikan nombor telefon untuk dihubungi 24 jam dan seharusnya ada pada setiap warga UKM bagi membuat aduan, melaporkan sesuatu, memberi komen serta cadangan dan sebagainya.