LELAKI PENARI KEBUDAYAAN: ANTARA IMEJ @ MINAT
Oleh: Loke Kar Wai
Umumnya, kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada budaya tariannya. Tarian-tarian kaum seperti Melayu, Cina, dan India yang merupakan kaum majoriti di Malaysia benar-benar eksotik dan menawan. Bagi sesetengah masyarakat, setiap tarian yang diwarisi mempunyai makna yang tersendiri.
Kebiasaannya tarian-tarian ini diwarisi secara turun-temurun. Malah tarian tradisi negara asal kaum Cina dan India yang menetap di Malaysia juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya negara ini. Antara contoh tarian tradisi warisan ialah, Joget, Zapin, Mak Yong, Tarian Singa, Tarian Naga, Tarian Kipas, Bharata Natyam, Bhangra, Ngajat, Sumazau dan lain-lain.
Seperti yang kita ketahui, ramai kaum lelaki turut menyertai dan mempelajari tarian kebudayaan ini. Adakah imej ‘lelaki lembut’ menjadi pengahalang kepada minat sesetengah kaum lelaki ini? Atau minat mereka tidak dapat dihalang dengan imej yang dilabelkan oleh masyarakat terhadap lelaki yang menyertai tarian kebudayaan.
Apabila menceritakan tentang penari lelaki dalam tarian kebudayaan, pelajar UKM, Tan Tat Hin berkata, “Tarian kebudayaan merupakan satu aset Negara dan juga keistimewaan yang tidak dapat dicari di Negara lain. Ia anggun dan cantik semasa dipersembahkan dengan pakaian dan muzik tradisional yang lengkap. Ia tidak sama dengan tarian moden.” Beliau juga mengatakan bahawa keprihatinan dapat dirasai semasa penari lelaki mempersembahkan tarian kebudayaan. Tambahan pula, penari lelaki semestinya mempunyai minat yang amat mendalam untuk memotivasikan mereka untuk belajar tarian kebudayaan kerana ramai yang berpendapat bahawa tarian kebudayaan merupakan tarian yang membosankan.
Selain itu, imej penari kebudayaan bagi komuniti ibu bapa adalah lembut dan hanya sesuai kepada perempuan sahaja. Apabila anak lelaki berniat untuk menjadi penari kebudayaan, kebanyakan ibu bapa akan menentang keras niat ini malahan rakan-rakan juga akan memerlikan niat untuk menjadi penari kebudayaan ini. Ini merupakan satu fenomena yang kerap berlaku dan ini berkemungkinan disebabkan faktor lelaki yang terlibat dalam dunia seni ini dilihat agak lembut dan akhirnya mewujudkan mentaliti sebegini.
“Tidak semestinya apa yang dilihat luaran lembut itu boleh dikategorikan sebagai lembut secara keseluruhannya. Ini kerana golongan lelaki ini memang suka tarian kebudayaan.” Jelas Tan Tat Hin. Menurut pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd Yunus Ismail, “Bukan semua dunia seni tari ini dimeriahkan oleh golongan ini kerana terdapat ramai juga pembabitan daripada lelaki yang dikategorikan sebagai maskulin.”
Walaupun imej penari lelaki adalah ‘lembut’, penari lelaki kebudayaan sendiri mungkin mempunyai pandangan yang berbeza. Ramli Ibrahim, pada usianya yang kini telah mencecah 60 tahun, Ramli telah mengabdikan diri selama 35 tahun pada seni tarian klasikal India. Ramli mengakui, memang mencabar menjadi lelaki yang mempunyai minat dalam tarian terutamanya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Imej yang kurang positif telah menyebabkan minat tersebut sukar berkembang.
Tambahan pula, seni tari yang telah menjadi sebahagian daripada dirinya itu seringkali dilihat sebagai janggal. Ramli berdepan dengan sensitiviti melampau daripada pihak yang merasakan dirinya tidak sesuai memperjuangkan tarian odissi memandangkan dia seorang Muslim.
Setiap pergerakan tarian mempunyai metafora tersendiri yang membawa pelbagai maksud, sama seperti tarian tradisional lain seperti mak yong. Tarian kebudayaan itu merupakan persembahan dan juga satu cara untuk memaparkan personaliti sebenar. Imej yang negatif ini tidak memadai untuk menghalang penari lelaki terus melakukan perkara yang diminati.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2F8XkWUU0