INTERCULTURAL PARTY KIY
Oleh Nurul Nadiah Md Azam
Bangi, 29 November 2012 : Lebih kurang 200 orang penghuni Kolej Ibrahim Yaakub (KIY), hadir memeriahkan sambutan majlis kebudayaan yang bertemakan ‘Intercultural Party KIY’ anjuran JAKSA Integrasi dan Perpaduan Kaum yang telah diadakan baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di dataran kolej tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar (TNC), Othman A. Karim, majlis turut disertai oleh Felo Penasihat, Cik Pushpawani a/p Ramaloo, barisan Felo, barisan ecxo-exco JAKSA dan Ketua Pengarah Program ‘Intercultural Party KIY’ iaitu Cik Lee Shy Yii.
“Program Intercultural Party KIY dapat memberi sedikit-sebanyak pendedahan kepada para pelajar tentang budaya kaum lain melalui seni dan tarian kebudayaan kaum lain. Saya berasa gembira kerana dapat lihat anakanda-anakanda yang terdiri daripada pelbagai kaum di KIY ini telah bersama-sama menghadirkan diri ke majlis ini,” ujar Pengetua Kolej KIY semasa merasmikan upacara meriah tersebut.
Ketua Pengarah majlis merangkap JAKSA Intergrasi dan Perpaduan Kaum, Lee Shy Yii, berkata, majlis ini mampu membawa makna yang besar kepada setiap pelajar dalam mengenal budaya masyarakat kaum lain. Tiga kaum yang terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India merupakan fokus utama yang diberikan penekanan dan pendedahan dalam sambutan ini, untuk memperlihatkan budaya – budaya kaum terbesar ini kepada setiap warga kampus.
“Semasa membuat persediaan, ahli jawatankuasa telah bergabung tenaga bagi menjayakan majlis seumpama ini. Malahan, perbincangan antara pelbagai kaum pada awal persediaan majlis ini telah menampakkan usaha yang positif, di mana mereka bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain dan bersama-sama menambah pengetahuan mengenai budaya kaum lain. Usaha menghebahkan mengenai majlis ini turut dilakukan oleh penghuni KIY di setiap kampus dan fakulti,” ulas beliau lagi.
Berlainan pula dengan pendapat seorang wakil dari Kelab Aspirasi KIY, Mohd Fadzil bin Razali. Beliau ketika ditemui berkata, “Majlis ini dirasakan kurang berkesan disebabkan faktor masa yang singkat. Implementasi yang diinginkan seakan tidak berjaya kerana pelajar-pelajar telah ‘kenal’ dengan budaya kaum yang sedia ada.” Beliau turut mencadangkan agar majlis atau program sambutan kebudayaan sebegini harus dibuat secara mingguan agar pelajar lebih mengenali budaya kaum lain dengan lebih mendalam.
Sementara itu, majlis bertemakan ‘Intercultural Party’ ini disambut baik oleh pelajar-pelajar kolej, di mana majlis ini berjalan dengan baik menggunakan sepenuhnya Bahasa Inggeris. Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai jualan barangan dan makanan dari kelab kebudayaan serta diakhiri dengan percikan bunga api yang dipasang buat tontonan umum.