kebersihan tandas awam: kesihatan dan etika
oleh sh. nurafiqah syed ahmad kamal
Kebersihan sesebuah tandas itu merupakan salah satu faktor bagi pengguna untuk menggunakan tandas tersebut. Kebanyakan tandas awam di Malaysia mempunyai tahap kebersihan yang rendah walaupun pelbagai kempen telah dijalankan untuk meningkatkan kebersihan tandas. Tetapi, adakah perkara tersebut berlaku disebabkan penjagaan yang sambil lewa daripada pihak yang sepatutnya ataupun hasil daripada sikap pengguna itu sendiri?
Persoalan tersebut dapat dijawab dengan bertanyakan kepada diri kita sendiri. Seperti yang diketahui, terdapat tukang cuci yang ditugaskan untuk membersihkan tandas dan mereka melakukan sedaya upaya mereka untuk menjaga kebersihan tandas–tandas awam ini. Tetapi sebagai pengguna, kita sepatutnya memainkan peranan penting bagi mengekalkan kebersihan tandas dengan mengamalkan etika yang betul semasa menggunakan tandas. Sebagai contoh, pengguna boleh memastikan mereka telah menutup saluran air dengan betul bagi tidak membazirkan air dan menyebabkan banjir di dalam tandas. Selain itu, pembuangan sampah seperti tisu tandas dan tuala wanita di tempat–tempat yang disediakan juga penting kerana perkara ini merupakan antara sebab utama tandas–tandas menjadi kotor.
Tandas Awam di UKM
Daripada pemerhatian, tandas–tandas awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kebanyakannya tidak dijaga dengan baik. Lantai-lantai yang kotor, paip yang tidak boleh digunakan menyebabkan pelajar tidak gemar untuk menggunakan tandas-tandas tersebut. Pelajar memberi respon bahawa tandas–tandas tersebut sesetengahnya tidak mempunyai flush yang berfungsi menyebabkan tandas–tandas tersebut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Perkara ini menimbulkan ketidakselesaan untuk menggunakan tandas awam bagi sesetengah pelajar yang menginginkan suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa.
Masalah Kesihatan
Tandas yang kotor bukan sahaja memberi imej yang buruk terhadap universiti tetapi ia juga boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan. Menurut pakar daripada portal MyHealth antara masalah–masalah yang timbul akibat penggunaan tandas yang kotor adalah masalah pencemaran bau yang mengganggu kehidupan seharian masyarakat. Selain itu, ia juga mampu untuk menimbulkan tekanan bagi seseorang. Tekanan yang dimaksudkan adalah disebabkan oleh penahanan pembuangan sisa badan disebabkan tidak mahu menggunakan tandas yang kotor. Mereka yang prihatin tentang kesihatan atau fobia dengan bakteria akan berusaha untuk mencari tandas yang selesa untuk digunakan.
Penggunaan tandas yang kotor juga boleh mengakibatkan jangkitan pada salur atau pundi kencing yang boleh dianggap sebagai kronik. Jangkitan tersebut mungkin berlaku disebabkan oleh kuman yang terdapat di persekitaran tandas masuk ke dalam badan menerusi saluran dubur. Kuman yang dimaksudkan adalah Escherichia Coli atau dikenali sebagai E. Coli. Gejala–gejala bagi penyakit ini adalah kencing dengan kerap, rasa sakit atau rasa pedih selepas kencing, rasa hendak kencing lagi walaupun tiada air kencing (tidak puas), rasa sakit di bahagian bawah abdomen, kencing berdarah atau kencing yang berbau dan demam sederhana.
Selain itu, tabiat membersihkan tangan selepas menggunakan tandas yang tidak sempurna juga mampu mengakibatkan masalah keracunan makanan berlaku di mana kuman-kuman yang berada pada permukaan tangan akan beralih kepada makanan dan menjangkiti orang lain.
Bakteria Yang Terdapat Di Dalam Tandas
Bakteria yang selalu terdapat di dalam tandas ialah E. Coli, Shigella, Camphylobacter, Staphylococuc dan organisma protozoa yang dikenali sebagai Giardia lamblia dan Entamoeba histolytica.
Kuman bakteria yang sering menyebabkan cirit-birit ialah E. Coli, Shigella, Camphylobacter dan Staphylococuc. E Coli merupakan sebuah bakteria yang hidup di dalam sistem penghadaman dan manusia mendapat jangkitan E.Coli menerusi makanan atau air yang telah tercemar dengan najis mausia mahupun haiwan.
Shigella juga merupakan sebuah bakteria yang boleh dijangkiti menerusi makanan atau minuman yang tercemar. Shigella boleh dirawat dengan mengambil antibiotik. Camphylobacter pula kebiasaannya menjadi punca bagi penyakit bawaan makanan.
Giardia Lamblia merupakan penyebab utama penyakit Giardiasis iaitu jangkitan yang berlaku kepada usus kecil. Antara kuman bakteria yang sedia ada dalam usus ialah staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Streptococcus faecalis, Canadida albicans, kumpulan Salmonella dan Proteus.
Etika Penggunaan Tandas
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, sikap pengguna sendiri merupakan punca utama tandas–tandas awam menjadi kotor dengan membuang tisu tandas dan tuala wanita bukan di tempat yang sepatutnya, melakukan vandalisme dengan merosakkan paip air, flush tandas dan juga menconteng dinding-dinding tandas. Ini juga mengakibatkan imej negara buruk kepada para pelancong apabila mereka menggunakan tandas awam.
Menurut pakar daripada portal MyHealth, menjaga kebersihan tandas adalah tanggungjawab masyarakat dan masyarakat seharusnya melihat kepentingan kebersihan sebagai satu cara hidup dan tandas merupakan salah satu daripada aspek penting untuk dijaga bagi memastikan kehidupan kita bersih dan terhindar daripada penyakit yang berbahaya.
Anak–anak juga haruslah dilatih daripada kecil supaya rajin membersihkan tandas di rumah, menghias tandas supaya kelihatan cantik dan selesa dengan meletakkan bunga–bunga, dekorasi serta wangian. Ini bukan sahaja akan menjadikan tandas sebagai salah satu tempat utama untuk dibersihkan malah akan meningkatkan lagi kualiti kehidupan bagi penghuni rumah tersebut. Sikap ini membentuk diri anak-anak agar sentiasa menghargai kebersihan tandas walau di mana juga mereka berada dan terus menjadi amalan positif sehingga mereka dewasa.
Sumber :
http://www.webmd.com/a-to-z-guides/e-coli-infection-topic-overview
http://www.who.int/topics/shigella/en/
http://www.infoplease.com/cig/dangerous-diseases-epidemics/camphylobacter.html
http://www.medicinenet.com/giardia_lamblia/article.htm
http://dspace.unimap.edu.my/dspace/bitstream/123456789/7835/1/jangkitan%20saluran%20kencing.pdf
http://www.myhealth.gov.my/v2/