UKM, 12 Okt 2012: Jabatan Kejuruteraan Awam & Struktur, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Dr. Mohd Raihan Taha (gambar kecil) telah menerima anugerah berprestij ‘Telford Premium’ dari Institution of Civil Engineers ( ICE), United Kingdom. Penganugerahan ini diberikan atas hasil kertas kerja terbaik yang dihasilkan oleh beliau yang bertajuk, ‘Electrokinetic Treatment On A Tropical Residual Soil’. Pencalonan kertas kerja ini dimuatkan melalui jurnal ‘Ground Improvement’ bagi tahun 2012.
Menurut Prof Dr. Mohd Raihan Taha, “selain daripada saya, kajian ini turut dihasilkan dengan kerjasama daripada Prof Dr Khairul Anuar Kassim dan Prof Dr Kamarudin Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut dianugerahkan dengan anugerah yang sama di Institusi Jurutera Awam (ICE) oleh Presiden ICE, Richard Coackley.”
Prof Dr.Mohd Raihan Taha merupakan tenaga pengajar yang menjurus kepada kursus Geo-technical and Geo-environmental Engineering. “Kajian yang selalu dijalankan oleh saya berkaitan aspek Geo-environmental iaitu sisa tanah tropika, pemulihan tanah dan pembersihan tanah yang ditimbul, Nano teknologi dan nano partikel Geo-engineering serta juzuk pemodelan tanah.” Tambah beliau.
Menurut beliau lagi “Kejuruteraan geoteknik penting kerana hampir semua binaan seperti bangunan, jalan raya, jambatan, dan empangan memerlukan asas dibina di atas tanah atau bumi. Struktur geoteknik seperti tembok penahan dan cerun telah menjadi bahan kajian yang tradisi dan diketahui umum. Kini, hasil industri yang melibatkan pengurusan sisa dan bahan kimia, struktur geoteknik baru seperti pelapik kambusan, dinding penahan reaktif dan sistem pembersihan tanah muncul.”
Prof Dr. Mohd Raihan Taha menyatakan bahawa Ground Improvement menerbitkan kertas kerja yang dikaji semula mengenai perkembangan teknologi dan kajian ini melibatkan aplikasi kejuruteraan inovatif bagi semua aspek pembaikan tanah. Manakala Institusi Jurutera Awam (ICE) adalah sebuah persatuan profesional yang bebas dan beribupejabat di pusat bandar London. Majoriti ahli adalah jurutera British namun terdapt juga ahli lebih daripada 150 negara di seluruh dunia. Pada tahun 2008, jumlah keahlian lebih daripada 80,000 dan pada bulan November 2011, Richard Coackley menjawat jawatan sebagai Presiden.
“Anugerah ini akan diberi pada setiap tahun dan dianugerahkan oleh Institusi British Jurutera Awam (ICE) bagi kertas kerja yang terbaik. Anugerah ini diperkenalkan pada tahun 1835 berikutan wasiat yang dibuat oleh Thomas Telford iaitu presiden pertama ICE. Anugerah penulis ICE terdiri daripada industri jurutera dan ahli akademik yang telah menghasilkan kertas kerja yang dinilai oleh rakan-rakan mereka untuk memberi manfaat kepada komuniti kejuruteraan awam.” Jelas Prof.
Kemudian beliau berkata, “kajian yang dilakukan oleh kami ialah berkaitan kajian ke atas nilai-nilai pH anolit dan katolit semasa pemprosesan elektrokinetik ke atas satu tanah baki tropika dilakukan di makmal. Empat sistem anodterbuka dan katod-terbuka diaplikasikan dalam kajian ini dengan menggunakan katolit dan anolit yang berlainan jenis. Di samping air suling, bahan-bahan kimia lain yang digunakan sebagai elektrolit adalah aluminium klorida, kalsium klorida dan asid fosforik.”
“Sampel-sampel tanah yang telah dimampatkan ke tahap 90% ketumpatan kering maksima pada kandungan lembapan optima dikenakan arus terus 30 V selama 168 jam. Nilai-nilai pH elektrolit dipantau sepanjang ujikaji. Kajian menunjukkan nilai-nilai pH berubah mengikut masa bergantung kepada nilai-nilai asal, jenis anolit dan katolit serta jenis sistem yang digunakan. Nilai-nilai pH yang diukur berbeza dari nilai-nilai teori disebabkan oleh faktor kecekapan peralatan ujikaji EK dan tidakbalas elektrokimia yang kompleks.” Terang beliau dengan lebih lanjut.