Bakat atau Rupa Paras
oleh Nurhidaya Pukari
Bakat merupakan satu anugerah atau kebolehan semula jadi yang diberikan kepada seseorang dalam pelbagai bidang seperti bidang lakonan, nyanyian, penulisan atau lukisan. Rupa paras pula adalah raut wajah seseorang yang memperlihatkan imej dan perwatakan mereka. Seseorang yang mempunyai bakat dan rupa paras yang menarik dianggap mempunyai pakej yang lengkap.
Namun, semuanya bergantung kepada bidang-bidang yang diceburi. Ada diantaranya memerlukan bakat yang lebih tanpa perlu menitikberatkan rupa paras. Ada juga yang memerlukan kedua-duanya untuk bertahan di dalam dunia seni hiburan.
Dalam dunia seni hiburan misalnya, kemunculan program realiti TV seperti Vokal Bukan Sekadar Rupa yang disiarkan di TV3 memberikan fenomena baru kepada dunia nyanyian. Menurut Penerbit Eksekutif program tersebut, Muhammad Suffian Che Ahmad, matlamat program ini adalah untuk memberikan peluang kepada mereka yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian walaupun mempunyai rupa paras yang kurang menarik. (Sumber: Berita Harian Online, 20/09/2011).
Program ini dilihat banyak mencungkil bakat-bakat baru tanpa melihat kepada rupa paras mereka. Ada diantara peserta yang menyertai program tersebut seperti Azmarul Azuan Harun, 27 mempunyai saiz badan yang gempal namun mempunyai aura suara yang mantap dan sedap didengar. Ini menunjukkan rupa paras merupakan elemen kedua selepas bakat bagi membolehkan seseorang itu dinilai sebagai seorang penghibur.
Dalam bidang seni hiburan, bakat dan rupa paras sering menjadi perhatian masyarakat kerana elemen yang dimiliki ini menyumbang kepada peningkatan “saham” mendadak kepada empunya diri disamping populariti, kontroversi dan cerita panas mengenai mereka. Senario ini sudah sebati dan menjadi trend kepada artis-artis di negara kita.
Menurut Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli, dia menjelaskan bahawa kontroversi dan cerita-cerita sensasi artis mampu mengangkat nama mereka dalam bidang seni tetapi ia hanyalah bersifat sementara. Faktor populariti pelakon, rupa paras atau apa jua cerita sensasi belum mampu menjadikan ia terus diterima oleh para penonton. (Sumber:buzzera.blogspot.com). Rupa paras yang menarik bukanlah suatu elemen yang terbaik namun bakat sebenar setiap artis merupakan aset yang paling utama dalam mengangkat populariti serta kualiti produk yang mereka ingin hasilkan.
Namun kini, penonton semakin sedar akan kewujudan artis-artis yang kurang mempunyai rupa paras yang menarik namun mempunyai bakat yang sangat baik. Mereka memandang kepada nilai yang ditonjolkan oleh seseorang artis tersebut supaya dengan bakat yang mereka ada mampu untuk bertahan di dalam dunia seni hiburan serta terus diminati.
Bakat atau rupa paras, atau kedua-duanya sekali? Manakah pilihan anda? Terpulanglah kepada seseorang untuk memilih bakat atau rupa. Namun, kedua-duanya merupakan elemen yang penting bagi seorang penghibur kerana mempunyai pakej yang lengkap untuk bertahan di dalam dunia seni hiburan. Elemen-elemen ini akan lebih lengkap jika ditambah dengan nilai-nilai kemanusiaan yang ada.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Caribakat_bukanrupa/Article
http://buzzera.blogspot.com/2012/05/artis-sensasi-tak-kekal-lama.html