Pengurusan Masa Berkualiti, Mahasiswa Gemilang
Oleh Ooi Qin Hui
Pernahkah anda menghadapi masalah masa yang tidak mencukupi? Pengurusan masa yang berkesan sebenarnya tidaklah semudah yang kita sangkakan. Walaupun setiap orang memiliki 24 jam sehari, tetapi untuk menjadi seorang mahasiswa yang gemilang, kita haruslah menguruskan masa kita dengan berkesan. Jadi, marilah kita berbincang tentang kepentingan dan cara untuk menguruskan masa dengan berkesan.
Pengurusan masa adalah penting untuk membantu kita menetapkan matlamat yang ingin dicapai pada masa yang ditentukan. Ini bermakna kita dapat menggunakan masa kita dengan optimum jika kita menguruskan masa kita dengan baik. Pengurusan masa dapat mengelakkan diri kita daripada masalah tekanan dan perasaan kebimbangan. Hal ini sedemikian adalah kerana semua aktiviti yang dirancang dapat dijalankan pada masa yang ditetapkan. Cara untuk menggunakan masa dengan optimum adalah dengan membuat perancangan kerja yang baik. Pada mula-mulanya, kita haruslah menyenaraikan semua kerja penting yang perlu dilakukan untuk sepanjang minggu. Seterusnya, kita juga perlulah membuat dan mengikut jadual kerja yang dirancang supaya kerja dilengkapkan pada masa yang ditetapkan. Dalam proses ini, kita haruslah sentiasa berfikiran positif dan mempunyai masa rehat yang mencukupi. Langkah seterusnya ialah meningkatkan produktiviti bekerja. Kita haruslah memilih waktu yang paling sesuai, tenang, bertenaga, segar, dan dapat berfikir dengan baik untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan menggunakan masa yang minimum. Selain itu, kita juga perlu melatih diri supaya tidak mengamalkan tabiat menangguh kerja. Apabila kita berasa sesuatu kerja itu adalah susah untuk diselesaikan, pisahkanlah tugasan menjadi beberapa bahagian supaya ia menjadi mudah dicapai dan diselesaikan. |
Jadi, masa adalah terhad terutamanya bagi mahasiswa yang perlu melaksanakan pelbagai tugasan pada satu masa. Pengurusan masa berkualiti dapat membolehkan kita mencapai kepuasan dan memberi motivasi kepada diri sendiri. Bak kata pepatah “masa itu emas”. Oleh itu kita perlulah membuat penilaian pengurusan masa dan melatih diri untuk menjadi mahasiswa yang menghargai masa dan menguruskannya secara berkualiti supaya dapat menjadi mahasiswa yang gemilang.
|