Kesejahteraan Kita, Tanggungjawab Kita Bersama
oleh Muhammad Nazmi A Razak
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Hidup di kampus UKM sememangnya indah, dengan pemandangan dan suasananya yang begitu tenang dan aman. Tambahan pula dengan faktor barisan Jawatankuasa Siswa Siswi (jaksa) yang komited dan kakitangan kolej yang sentiasa berdedikasi mewujudkan perasaan sayang yang tidak pernah berbelah-bahagi terhadap kampus.
Namun di kala semuanya tampak indah, ada juga yang ketinggalan dalam merasai nikmat berada di kampus UKM ini. Hal ini kerana adanya segelintir golongan yang dibenarkan menumpang secara sah di salah sebuah kolej swasta yang telah berdaftar di UKM. Difahamkan juga golongan itu ialah golongan pelajar yang mengambil jurusan bidang masakan yang mana pelajar tersebut tidak berkaitan langsung di bawah bidang kuasa UKM.
Menurut tinjauan yang dilakukan, golongan itu telah banyak mencetuskan pelbagai masalah berbanding kebaikan terhadap penghuni kolej tersebut. Pelbagai masalah yang ditimbulkan membuatkan ramai penghuni dan barisan jaksa serta warga UKM lain yang prihatin tidak selesa dengan keadaan tersebut.
Berkaitan masalah yang pernah ditimbulkan oleh mereka, mungkin ramai warga UKM lain yang tidak menyedari, namun perkara ini telah menjadi ibarat api dalam sekam terhadap penghuni kolej tersebut. Sebagai contoh kesalahan golongan menumpang ini ialah pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pemakaian yang kurang menyenangkan, berdua-duaan di tempat gelap atau sunyi, pecah masuk bilik, bawa pasangan bukan muhrim masuk ke bilik, merokok di tempat umum, kes buli dan membuat bising di waktu lewat malam. Sudah pasti jika tidak dibendung dengan lebih agresif, kegiatan mereka akan menjadi lebih buruk.
Walaubagaimanapun, tidak bermakna aduan pelajar kolej tersebut telah dipandang sepi oleh pihak pengurusan dan barisan jaksa, malah pelbagai tindakan telah di ambil demi kesejahteraan penghuni kolej tercinta. Difahamkan pelbagai tindakan telah diambil seperti membuat tangkapan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa serta memberi amaran keras kepada pesalah.
Namun, dengan kuasa yang terhad, barisan jaksa tidak akan mampu membendung masalah ini. Oleh itu, diharap pihak yang berwajib atau pihak pengurusan UKM sendiri campur tangan dalam hal ini seterusnya memastikan kesejahteraan keseluruhan penghuni UKM yang tercinta ini. Sekurang-kurangnya rundingan meja bulat boleh dilakukan. Namun, jika dilihat dari sudut lain juga, tiada kebaikan yang boleh dimanfaat kepada UKM apabila menyimpan golongan bermasalah sebegini malah mungkin akan mencemarkan nama baik universiti. Mencegah itu lebih baik dari mengubati.