PALAPES dan SUKSIS : Adakah Membebankan Kredit KO-K
oleh Zaidatul Ameera Zakaria
UKM: Mahasiswa dan mahasiswi di universiti seringkali akan terlibat dengan aktiviti atau program yang mampu memberi kebaikan kepada mereka. Trend menyertai program PALAPES dan SUKSIS adalah satu aktiviti yang sering mendapat sambutan daripada mahasiswa dan mahasiswi di IPTA.
PALAPES adalah singkatan bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, yang berada dibawah Rejimen Askar Wataniah (RAW) yang mempunyai tanggungjawab dan tugas yang sama berat dengan anggota tetap dalam mempertahankan negara daripada musuh. Manakala SUKSIS ialah singkatan kepada Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis. Penubuhan SUKSIS adalah bertujuan mendedahkan kepada pelajar etika-etika kepolisan dalam menjaga keamanan negara.
Namun bagi pelajar yang menyertai PALAPES dan SUKSIS, mereka menganggap program yang mereka sertai ini adalah sebagai salah satu aktiviti yang dapat memberi seribu kebaikan kepada mereka. Bukanlah satu perkara yang luar biasa bagi mereka untuk tidak keluar pada hujung minggu bersama teman-teman seperti pelajar lain dan ianya sedikitpun tidak mampu menggoyahkan semangat mereka untuk menyertai program ini.
Menurut seorang pelajar yang menyertai program PALAPES UKM iaitu Afifah bt Maarof, 20 (gambar dibawah) beliau berkata menyertai program ini dapat memberi faedah dan pengalaman baru dalam hidupnya. Menurutnya lagi, program ini tidaklah membebankan beliau dan hal ini demikian adalah kerana latihan untuk program ini hanya dijalankan pada hujung minggu sahaja dan tidak akan mengganggu proses pembelajaran beliau.
Seterusnya juga bagi beliau, program ini dapat memberi peluang untuk beliau mempelajari perkara baru dalam hidupnya. Sebagai contoh, ilmu-ilmu berperang, ilmu ketika sesat dalam hutan, teknik ketika melawan musuh dan pelbagai lagi. Apa yang penting bagi beliau dalam menyertai program ini ialah ia akan dapat menyemaikan semangat patriotik dan cinta akan negara dalam dirinya.
Tambahnya lagi, program ini bersifat berterusan dan tidak seperti program lain yang hanya diadakan semata-mata untuk memenuhi kontrak pembelajaran pelajar. Hal ini demikian kerana, melalui program ini pelajar akan diserap sebagai leftenan muda selepas tamat latihan selama tiga tahun.