Penyakit dan Alam Mistik
oleh Mohd Solehudden Mohd Ahhari
Kita sering mendapati dalam kalangan umat Islam Melayu di negara ini yang menghidapi penyakit mental akan pergi mendapatkan rawatan daripada mana-mana individu yang mereka lihat mempunyai kuasa, hubungan atau pegangan kepercayaannya yang kuat terhadap perkara berkaitan supernatural. Kepercayaan supernatural atau supranatural berlaku apabila seseorang itu mempercayai akan wujudnya satu sumber kuasa atau tenaga yang berada di dalam dunia ghaib atau luar biasa selain daripada dunia nyata tetapi mempunyai pengaruh dan kesan amat kuat dalam kehidupan manusia.
Dalam konteks artikel ini, supernatural itu dirujuk kepada kepercayaan terhadap kekuatan makhluk halus di alam ghaib seperti jin, syaitan dan iblis yang mempunyai kuasa mempengaruhi umat manusia menurut sejarawan islam. Walaupun hakikatnya bahawa ia satu sumber kuasa atau tenaga yang berada di luar dari tanggapan hukum tabi'i, kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa kuat dalam menentu atau memberi kesan langsung dalam susun atur kehidupan di alam nyata manusia adalah satu perkara yang masih mengelirukan dan seringkali menjadi perbincangan, malahan perdebatan di kalangan para pengkaji dan ilmuwan dari pelbagai latarbelakang disiplin ilmu.
Menurut artikel Jabatan Agama Islam Selangor, dalam konteks agama Islam, memang terdapat ajaran yang turut mengandungi pelbagai unsur berkaitan alam ghaib yang di luar dari alam tabi'i, sebahagian besarnya menjurus kepada apa yang dikenali sebagai perkara Sam'iyyat. Ia merupakan perkara yang wajib dipercayai dan menjadi asas kepada dasar-dasar akidah umat Islam. Ia juga sebagai perkara yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan akan kewujudan atau kebenarannya. Malahan ia merupakan sumber kekuatan yang memberi kesan spiritual dan psikologikal kepada individu muslim. Namun di sebalik perkara ini, terselit beberapa perkara berkaitan unsur-unsur mistik yang mendasari kepercayaan khurafat dan dikhuatiri boleh menjejaskan nilai-nilai keimanan seseorang individu muslim.
Kekurangan maklumat dan fakta berkaitan dengannya merupakan perkara-perkara yang seringkali tidak jelas kedudukannya, malah menjadi sumber kekeliruan di kalangan umat Islam dalam melihat sesuatu fenomena, khususnya yang berkaitan dengan gangguan kejiwaan atau pun penyakit mental. Jika berdasarkan kepada satu laporan sesebuah akhbar iaitu pada 17 Jun 2011 bahawa wujud di kalangan masyarakat Melayu Islam yang berusaha mendapatkan rawatan daripada pengamal kebomohan akibat penyakit mental yang dialami sejak empat tahun lalu, tetapi membawa kematian, ia adalah kejadian yang amat tragis dan malang. Berdasarkan apa yang dilaporkan itu, menunjukkan bahawa kepercayaan terjadinya sesuatu penyakit akibat daripada pengaruh dunia halus masih lagi wujud, menebal dan kukuh di kalangan umat Islam negara ini.
Peristiwa itu memang sukar diterima jika didasarkan kepada pemikiran logik, atau diungkap dari perspektif saintifik, tetapi tidak dinafikan akan kewujudannya. Menurut artikel Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), walaupun ajaran dalam Islam mengakui akan kewujudan makhluk halus, tetapi kepercayaan seperti itu perlu ada batasnya.Umat Islam perlu berhati-hati terhadap kepercayaan bahawa makhluk halus memiliki kuasa luar biasa dalam mendatangkan sesuatu penyakit, atau kuasa yang boleh menyembuhkan penyakit, apatah lagi mempercayai bahawa makhluk halus boleh mencabut nyawa seseorang. Walhal hanya Allah sahaja yang berhak disembah dan diyakini sebagai Kuasa yang memberi penyakit dan juga memberi penawar kepada mana-mana penyakit. Tidak ada selain Dia, apatah lagi jika mempercayai bahawa makhluk halus dari alam mistik juga mempunyai kuasa atau kekuatan yang sama.
Umat Islam perlu difahamkan bahawa makhluk halus dan alam mistik sememangnya wujud, namun mereka tidak mampu mempengaruhi kehidupan manusia walau dalam apa cara atau keadaan sekalipun selagi kita semua sentiasa berdoa memohon perlindungan dari-Nya. Apatah lagi bersahabat dengan makhluk halus dan menjadi tuan kepadanya serta mengamalkan sihir sudah pasti membawa kepada kekufuran. Apakah kecenderungan untuk mentafsirkan sesuatu penyakit yang dialami seseorang sebagai akibat oleh satu kuasa makhluk halus dari dunia mistik digalakkan atau dibenarkan dalam Islam? Adakah ia boleh menjejaskan akidah dan keimanan seseorang muslim kelak? Apakah makhluk halus dari dunia mistik kini telah mendapat tempatnya yang wajar di kalangan umat Islam Melayu negara ini sebagai satu sumber baru mencari rezeki, populariti atau pun kemewahan? Islam memang menuntut umatnya agar melakukan pelbagai usaha mencari ubat dan penawar bagi segala penyakit.
Bagaimanapun, daripada peristiwa yang baru berlaku itu, usaha mendapatkan rawatan dan ubatan mengikut kaedah yang digunakan sebagaimana yang dilaporkan itu memang tidak dapat diterima, khususnya daripada pendekatan perubatan moden yang bersifat saintifik. Peristiwa ini sebenarnya menggambarkan masih lagi wujud salah faham dan salah tanggapan umat Islam, bukan sahaja terhadap punca terjadinya gangguan mental, tetapi salah faham dalam mendapatkan rawatan berkaitan penyakit mental yang dialami. Jika kita berfikir secara logik pun, kita akan tahu bahawa bentuk rawatan seperti meminum bergelen-gelen air untuk memulihkan penyakit memang tidak dapat diterima oleh fikiran yang waras, malah bentuk rawatan yang dinyatakan itu amat tidak berperikemanusiaan dan menyalahi bentuk rawatan yang sah dan dibenarkan. Inilah akibat daripada salah tanggapan terhadap penyakit mental dan kesilapan mendapatkan rawatan dari mereka yang tidak ada kewibawaan dalam menyediakan penjagaan kesihatan mental yang baik untuk masyarakat.
Sumber : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)