Bukit Broga: Salah Satu Syurga
Pemandangan Indah
oleh: Nor Salsabil Binti KK Mohammad
Bukit Broga merupakan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai yang terdiri daripada warga tempatan mahupun warga asing. Bukit tersebut menjadi tumpuan yang sangat popular kerana pemandangan dari puncak bukit itu sangat menarik terutama ketika matahari terbit.
Untuk pengetahuan umum, Bukit Broga juga dikenali sebagai Bukit Lalang. Hal ini kerana terdapat spesis lalang yang tumbuh dengan banyaknya di bukit ini. Bukit ini terletak di Semenyih Selangor iaitu kira-kira 40 minit dari Kuala Lumpur. Keunikan pemandangan adalah faktor yang menyebabkan Bukit Broga menjadi popular. Pendakian Bukit Broga bermula dari sebuah ladang kelapa sawit menghadap taman arnab di seberang jalan. Proses pendakian mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke puncak yang tertinggi. Sepanjang perjalanan, para pengunjung akan melihat lalang-lalang yang tumbuh dengan banyaknya di sekitar bukit tersebut. Ketika keadaan berangin, para pengunjung boleh menyaksikan ombak lalang yangsangat menarik di Bukit Broga. |
Untuk sampai ke puncak Bukit Broga iaitu setinggi 400 meter, para pengunjung perlu mendaki sebanyak empat buah bukit untuk sampai ke puncak yang tertinggi. Para pendaki juga perlu berhadapan dengan kawasan yang curam ketika melalui bukit yang ketiga dan keempat. Walaupun perjalanan ke puncak bukit yang tertinggi agak memenatkan, tetapi apabila pendaki menyaksikan pemandangan yang sangat menarik dari puncak bukit menyebabkan kepenatan tidak begitu dirasai. Antara pemandangan yang boleh dilihat dari puncak Bukit Broga ialah ladang kelapa sawit yang menghijau, hutan yang ditumbuhi pelbagai jenis tumbuhan, landskap bandar, kawasan perumahan, gunung-gunung kecil dan sebagainya. Bagi pengetahuan bersama, Bukit Broga sesuai didaki oleh semua lapisan umur. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas boleh mendaki bukit ini. Pendakian bukit ini sangat sesuai untuk dijadikan aktiviti riadah bersama keluarga di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Selain menyaksikan keindahan pemandangan yang menarik, kesihatan juga dapat dijaga kerana proses pendakian bukit tersebut merupakan aktiviti senaman yang baik kerana dapat mengeluarkan peluh disamping dapat mengurangkan tekanan serta membina stamina yang baik. Untuk info lanjut: http://www.travel-living-bliss.com/bukit-broga-hill/ |